Monday, December 21, 2009
Cita-cita yang tidak kesampaian
Setiap manusia mempunyai cita-cita. Adakah cita-cita itu tercapai atau hanya angan-angan sahaja. Sebenarnya berangan-angan tidak salah kerana tiada bayaran. Malang sekali kiranya kita langsung tidak punya cita-cita mahupun angan-angan.
Cerita ini aku kongsi sebagai iktibar dan pedoman sahaja. Ibu mempunya empat orang adik beradik. Hanya ibu sahaja anak perempuan yang lain adalah dua orang abang dan seorang adik lelaki. Memandangkan keluarga ibu bukanlah dari golongan orang yang senang ,selepas berkahwin dengan ayah ,gaya hidupnya agak berubah kerana keluarga ayah dari golongan agak berada.
Abang sulung ibu hanya bekerja sebagai buruh , abang kedua bekerja sebagai askar dan sekarang sudah bersara. Adik bongsu ibu bekerja dengan kerajaan sebagai tukang masak untuk pegawai tertinggi di tempat kerjanya. Gelaran adik ibu adalah 'ucu'. Beliau seorang yang kuat semangat dan sentiasa mencari peluang untuk menambah pendapatan. Sikapnya yang sangat pemurah di senangi oleh semua orang .
Ucu punya cita-cita yang tidak kesampaian ,dia seorang pelajar yang cerdik semasa bersekolah ,dia di antara pelajar yang terpilih untuk memasuki asrama penuh tetapi nenek tidak mampu untuk membiayai persekolahannya. Keinginan ucu terpaksa di pendam sahaja. Memandangkan dia tidak menyambung pelajaranya selepas menduduki sijil pelajaran malaysia, dia terus bekerja .
Pekerjaannya sebagai tukang masak membuatkan beliau di kenali ramai. Kepetahan ucu berbicara membuatkan beliau di kelilingi teman-teman
yang sentiasa ceria. Usia ucu mencecah dua puluh lapan tahun dia telah menamatkan zaman bujang dengan seorang gadis yang bekerja sebagai guru di sekolah agama. Rumahtangga yang terbina, ucu di kurniakan lima orang cahaya mata, seorang perempuan dan empat orang lelaki.
Walaupun pendapatan ucu hanya cukup-cukup makan , ucu sentiasa menasihati anak-anaknya untuk belajar bersungguh-sungguh agar cita-citanya dulu dapat anaknya laksanakan. Alhamdulillah kesemua anaknya menampakkan hasil, dua orang dari anaknya menjadi guru selebihnya bekerja biasa.
Ucu rasa berpuas hati ,penat lelah selama ini terbalas , bila usia ucu hampir memasuki lima puluh lima ,dia bercadang untuk terus bersara. Itulah waktu yang di tunggu-tunggunya selama ini.
Pada suatu hari dia datang kerumah ibu, wajahnya yang amat ceria ,hari itu banyak perkara yang dia bualkan bersama ibu dan nenek. Katanya pada ibu "Kakak....kebun mak dah aku bersihkan ...,nanti aku tak akan bersihkan lagi" Ibu terpinga-pinga....lalu bertanya..."habis tu sapa yang akan bersihkan...,dan kamu nak kemana" Ucu menjawap " Aku nak berehat lagipun minggu depan 8 haribulan aku mula bersara"....Ibu pun tersenyum ..."aku ingat kamu nak melancung ke mana tadi"?.. Ucu menambah "aku benar-benar hendak berehat, hampir 35 tahun aku hambakan diri untuk mencari nafkah...,inilah masanya untuk berehat"
Ibu tersenyum lagi melihat telatah adiknya..."ye..lah kamu dah lama hidup susah inilah masanya untuk kamu berehat" Pada hari itu ibu masakkan ucu masakan kegemarannya iaitu tumis sadin dan sayur goreng. Ibu dan nenek makan bersama...,ucu cukup berselera betul...Sebelum balik ucu hulur bungkusan kepada ibu..."Apa ni " ibu bertanya. Ucu menjawap "Selama ni aku tak pernah belikan kakak baju , jadi memandang hari raya dah dekat aku belikan untuk kakak"..."tak payah susah-susah" kata ibu. Ucu menjawap "ini hadiah dari aku ambillah"
Tanpa bertanya lagi ibu menerima bungkusan tersebut dan mengucapkan terima kasih pada ucu. Sebelum balik ucu memohon maaf pada nenek dan ibu...ibu dan nenek maafkan ucu dan merasakan perjumpaan hari itu agak berlainan dari biasa.
Esoknya semasa aku berada di office , pada pukul 4.30pm aku di kunjungi oleh anak sulung ucu yang memaklumkan ucu kena serangan sakit jantung secara tiba-tiba di tempat kerja dan telah meninggal dunia semasa perjalanan ke hospital...
Ya Allah ...,tak tahu apa yang hendak aku katakan...,tak sanggup untuk aku maklumkan berita ini pada ibu...dan nenek...Namun aku gagahi jua dan memaklumkan berita ini pada ibu....Terdengar suara ibu dalam tangisan...nenek terdiam...Lalu katanya "Ya Allah ,kenapa engkau mengambil dulu anakku sedangkan aku yang telah hidup lama engkau masih panjangkan umurku..."
Kematian ucu benar-benar mengejutkan keluarga kami, ucu yang tidak pernah sakit tiba-tiba meninggal secara mengejut.Ibu teringat peristiwa semalam. Ucu gembira dan makan bersama-sama ibu .Kini sudah 3 tahun ucu meninggalkan kami, baju pemberian arwah ucu , ibu pakai semasa adik aku berkahwin tahun ini .Bermakna ibu telah menyimpan baju tersebut hampir 3 tahun.Yang aku tahu semasa ibu menyarungkan baju itu ke tubuhnya ,ibu menangis teresak-esak lalu berkata..,aku terima pemberianmu semoga engkau di tempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman....Amin.
Cita-cita arwah untuk kemenara gading tidak kesampaian dan harapannya untuk bersara juga tidak kesampaian. Semoga kisah ini menjadi pedoman ,dan kita sebagai hamba wajib bersedia......kerana ajal maut itu di tangan tuhan....kita hanya merancang tetapi tuhan yang menentukan....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment